Obesiti dalam kalangan anggota polis jadi perbahasan warga net

Obesiti dalam kalangan anggota polis jadi perbahasan warga net

Komen sini menyusuli klip video seorang koperal polis berperut boroi yang dilihat sukar keluar dari kereta peronda.

Pengguna Twitter mempersenda fizikal seorang anggota polis berperut boroi yang kelihatan sukar untuk keluar dari sebuah kereta peronda dalam satu klip video tular.
PETALING JAYA:
Keadaan fizikal seorang anggota polis yang mempunyai berat badan berlebihan menjadi perbahasan umum, susulan satu klip video tular di Twitter yang menunjukkan kepayahan anggota berkenaan untuk keluar dari kenderaan kerana berperut boroi.

Beberapa pengguna Twitter turut menjadikannya bahan jenaka manakala beberapa yang lain mempersoalkan sama ada anggota polis yang mempunyai berat badan berlebihan mampu untuk menangkap penjenayah.

Klip video TikTok berdurasi 45 saat itu disiarkan pada Sabtu itu dikongsi secara meluas di media sosial.

Ia menunjukkan seorang anggota polis berpangkat lans koperal keluar dari kereta peronda dan memberi nasihat kepada seorang pemuda mengenai keselamatan jalan raya.

Beberapa pengguna Twitter memperkatakan mengenai kesukaran anggota polis terbabit untuk keluar dari kereta, malah ada yang berkata dengan keadaan sedemikian, penjenayah mungkin akan dapat melarikan diri sebelum sempat anggota berkenaan keluar daripada kenderaan.

Seorang pengguna Twitter “floralia” berkata anggota polis perlu kekal cergas sehingga mereka bersara, dan harus menjadi contoh kepada belia.

Seorang lagi pengguna “Pooh Bear” berkata terdapat keperluan untuk anggota polis mengawal berat badan mereka, sambil menambah bahawa syarikatnya akan memeriksa indeks jisim badan (BMI) pekerja mereka setiap tiga bulan.

“Patut kawall berat badan. Berat badan berlebihan akan menjejaskan KPI,” ciapnya, merujuk kepada indeks prestasi utama.

Pengguna Twitter Afiq Azni pula mempersoal Kementerian Dalam Negeri dan menterinya Saifuddin Nasution Ismail adakah sesuatu sedang dilakukan bagi memulihkan standard minimum bagi keadaan fizikal perkhidmatan beruniform.

Bagaimanapun seorang lagi pengguna Twitter, Keshvin Sidhu, menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberi garis panduan kepada pasukan polis tentang cara mengekalkan cergas seperti dirinya.

Beliau berkata Anwar kelihatan muda dan cergas, berbanding usia sebenar beliau.

Seorang lagi pengguna “Endless” berkata tindakan perlu diambil terhadap anggota polis yang gemuk manakala seorang lagi mencadangkan anggota polis perlu menjalani ujian fizikal setiap tahun.

“Patutnya polis ni kena ada ujian fizikal tiap tahun, tak pun sekali dalam 2 tahun kena pastikan tiada polis yang obes macam ni. Ini kalau dah macam tu, macam mana nak tangkap penjenayah. Penjenayah tengok pun boleh gelak dulu aku rasa baru lari,” kata pengguna “MaT”.

Pada 2016, Ketua Polis Negara, kemudian Khalid Abu Bakar, berkata anggota polis yang tidak memenuhi syarat BMI tidak akan disahkan jawatan, atau dinaikkan pangkat.

Beliau juga mengumumkan bahawa polis akan mengembangkan program Trim & Fit bagi memastikan pasukan berada dalam keadaan fizikal yang optimum.

FMT telah menghubungi Bukit Aman bagi mendapatkan maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.