
Mata akan diberikan dalam lima kategori utama, menurut kertas kerja yang ditulis oleh Dr Sivabala Selvaratnam dan Dr Leonard Goh daripada Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) bawah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).
Mereka berkata, kriteria dalam skim yang dicadangkan itu akan menunjukkan tahap prestasi kerja, komitmen untuk meneruskan pembangunan profesional, kesediaan untuk berkhidmat di kawasan luar bandar, dan kualiti kepemimpinan.
Mengikut skim itu, doktor kontrak yang memohon jawatan tetap akan mengetahui markah mereka, berdasarkan pelbagai kriteria, dan akan lebih boleh menerima penolakan jika melihat markah mereka lebih rendah daripada calon yang dipilih.

Menurut Schomos, skim yang dicadangkan itu diperlukan untuk mengatasi “kekurangan ketelusan yang ketara” tahun lepas apabila kira-kira 3,000 doktor kontrak dilantik ke jawatan tetap, daripada 8,000 yang memohon.
Seorang doktor yang enggan dinamakan berkata, antara mereka yang gagal mendapatkan jawatan tetap termasuk ramai yang telah lulus peperiksaan untuk memulakan pengkhususan, atau mereka yang pernah berkhidmat di kawasan luar bandar sebagai sebahagian daripada “khidmat negara”.
Cadangan itu, yang dimuat naik ke laman Facebook Schomos, menyenaraikan mata diberikan kepada doktor kontrak termasuk:
- memperoleh lebih 100 mata bagi Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) – 12 mata, dengan markah berkurangan bagi CPD lebih rendah.
- berkhidmat di Sabah dan Sarawak selama 48 bulan dan ke atas – 6 mata, dengan markah lebih rendah untuk tempoh lebih singkat;
- lulus peperiksaan program kepakaran – 4 mata;
- tidak dilanjutkan “housemanship” – 4 mata; dan
- memegang jawatan dalam badan profesional peringkat antarabangsa/nasional – 6 mata, dengan markah lebih rendah untuk organisasi lebih bawah.
Pada masa ini terdapat lebih 23,000 doktor kontrak dalam perkhidmatan kerajaan. Mereka dilantik selepas kerajaan berhenti menawarkan jawatan tetap secara automatik.
Tambahan 2,000 hingga 3,000 graduan baharu menyertai perkhidmatan kesihatan dan perubatan setiap tahun.
Awal bulan ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan kekosongan bagi 4,914 jawatan tetap tahun ini, terdiri daripada 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmaseutikal. Permohonan untuk jawatan-jawatan tersebut ditutup pada 21 Jan.
Hanya doktor kontrak yang dilantik antara 2016 hingga 2019 sahaja yang layak memohon. Dianggarkan 8,000 doktor kontrak bersaing untuk memenuhi 4,263 jawatan yang tersedia.