Anwar takkan lupa jasa rakyat Permatang Pauh

Anwar takkan lupa jasa rakyat Permatang Pauh

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata rakyat Permatang Pauh asas kepada kekuatan politiknya.

Permatang Pauh merupakan kerusi Parlimen pertama bagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang diwakilinya pada 1982-1999 dan 2008-2015. (Gambar Bernama)
SEBERANG PERAI:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan melupakan jasa rakyat Parlimen Permatang Pauh, yang menjadi asas kepada kekuatan politiknya.

“Siapa boleh bayangkan kita lalui pelbagai kerenah dan ujian akhirnya kita dapat jawatan untuk menjaga negara ini,” katanya ketika melawat Bandar Perda.

“Ini jasa rakyat Permatang Pauh yang saya takkan lupa. Walaupun saya diletakkan di Port Dickson, Tambun tapi asas kekuatan kita dari Permatang Pauh.”

Permatang Pauh merupakan kerusi Parlimen pertama bagi Anwar Ibrahim, yang diwakilinya pada 1982-1999 dan 2008-2015.

Pada PRU 2004, Permatang Pauh satu-satunya kerusi Parlimen yang dimenangi PKR, menerusi isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang mengambil alih kerana pemenjaraan Anwar atas tuduhan rasuah.

Selepas Anwar dibebaskan pada 2004, Wan Azizah mengosongkan kerusi itu pada 2008 bagi membuka laluan kepada beliau kembali ke Dewan Rakyat.

Wan Azizah kembali mewakili Permatang Pauh pada 2015, dan kemudian anak mereka, Nurul Izzah dari 2018 hingga 2022, ketika Anwar berhijrah ke Parlimen Port Dickson.

PRU15 menyaksikan rakyat Permatang Pauh memilih calon PAS, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Anwar, yang menjadi perdana menteri ketika menjadi Ahli Parlimen Tambun, menerima keputusan rakyat Permatang Pauh itu.

“Ini liku-liku perjuangan. Kena sabar, kena bertawakal kepada Tuhan,” katanya.

“Walaupun kita diuji sekali lagi. Insyallah kita akan tawan semula.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.