SKMM sekat 1.8 bilion nombor ‘scam’ antara 2017 hingga 2022

SKMM sekat 1.8 bilion nombor ‘scam’ antara 2017 hingga 2022

Sejak 2018 pula, kata Fahmi Fadzil, sebanyak 300 juta nombor telefon 'scammer' menerusi SMS berjaya dikekang.

Mangsa ‘scammer’ digesa melaporkannya kepada NSRC di talian 997 supaya tindakan segera dapat diambil. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya menyekat 1.8 bilion nombor telefon yang digunakan oleh “scammer” dari 2017 hingga 2022, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, perkara itu diketahui hasil pertemuannya dengan pihak Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bersama SKMM dan beberapa pihak lain.

Sejak 2018 pula, katanya, sebanyak 300 juta nombor telefon “scammer” menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berjaya dikekang namun kes penipuan masih berlaku.

“Peringatan saya kepada rakyat Malaysia, tolong berhati-hati dalam suasana perayaan ini (kerana) sudah pasti akan ada yang menangguk di air keruh untuk mengambil kesempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di sini hari ini.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat yang menjadi mangsa penipuan supaya menghubungi talian 997 yang merupakan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk membuat laporan supaya tindakan segera dapat diambil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.