
Kekurangan pekerja ladang menyebabkan sejumlah besar FFB tidak dapat dituai, menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penanam-Penanam Malaysia Timur Thomas Lim.
“Pandemik Covid-19 memburukkan lagi keadaan dengan hasil pendapatan keseluruhan hilang dianggarkan mencapai 20%,” katanya kepada FMT.
Kekurangan buruh dalam industri itu bukan perkara baharu. Perladangan di Sabah hanya membenarkan penggajian pekerja asing dari Indonesia dan Filipina, selain kekurangan tenaga kerja melebihi 20%, terutama bagi penuai.
Hakikatnya pekerja tempatan hanya sekitar 15% dalam sektor perladangan itu.
Kecenderungan memilih pekerja asing susulan pengalaman dan kemahiran dimiliki dalam proses menuai buah, selain berkemampuan bekerja lebih pantas berbanding pekerja tempatan.
Pekerja asing juga sanggup bekerja di kawasan ladang yang terletak dalam kawasan terpencil.
Sebelum ini, persatuan berkenaan ada mencadangkan pekerja asing wanita dibenarkan bekerja sebagai pemandu traktor atau mengendalikan mesin. Namun, belum mendapat lampu hijau.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Industri Perladangan Sabah, Jawaria Sima, berkata pekerja tanpa dokumen terutama dari negara jiran, sering “dibayar kurang di bawah kadar gaji minimum dan tidak mendapat sebarang manfaat mahupun perlindungan mengikut undang-undang”.
Jawaria berpandangan tiada penyelesaian tuntas dilakukan memandangkan sistem kuota pekerja asing sedia ada “tidak berfungsi di Sabah”.
Sebagai contoh, jabatan tenaga kerja menganggarkan kuota pekerja bagi peladang kecil kebiasaan jauh lebih kecil, berbanding jumlah sebenar yang diperlukan.
“Ada kalanya, pemilik ladang juga perlu dipersalahkan kerana lalai bila mereka memerlukan lebih ramai pekerja pada waktu tertentu, seperti musim menuai. Ia menjurus peningkatan untuk menggunakan sumber luar, sekali gus mengurangkan margin keuntungan,” katanya.
Penyumberluaran menyumbang peningkatan kos dan juga menyebabkan penurunan kualiti buah yang dituai seterusnya menjejaskan margin keuntungan.
Cabaran lain yang didepani melibatkan pertambahan kos pengeluaran dan turun naik pasaran minyak mentah kelapa sawit.
“Kos baja, agrokimia, pengangkutan dan buruh semua naik dengan signifikan sejak akhir-akhir ini, yang mana meningkatkan kos pengeluaran bagi setiap tan yang sedia tinggi,” kata Lim.
Selain itu, harga harian minyak sawit mentah (CPO) tertakluk kepada turun naik dan ketidaktentuan menyebabkan kesukaran kepada pengeluar merancang untuk berdaya maju. Pihak pengeluar juga perlu membayar pelbagai cukai dan levi.
Katanya, peladang kecil berharap kos input dapat dikurangkan dan harga CPO lebih stabil.
Lim berkata, Bajet 2023 yang akan dibentangkan akan memberi kelegaan kepada sektor kelapa sawit Sabah.
“Melonggarkan sekatan melibatkan negara sumber bagi pekerja asing akan menjadi langkah ke arah hala tuju betul. Sebagai tambahan, penyediaan bantuan kewangan dan insentif kepada peladang kecil dalam industri juga akan mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya.