
Menurutnya, dalam situasi tertentu, ada pengundi yang meminta wang daripada calon.
Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan diterima Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung agihan wang tunai oleh orang awam kepada pengundi ketika PRU15, dianggap sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.
“Saya tak pasti pasal itu (sedekah), tapi yang penting adalah niat memberi wang. Ini bukan tentang menerima wang.
“Mereka yang minta dari calon ada yang nak guna untuk baiki rumah…kerana itu kita kena hati-hati dalam niat kita memberi duit itu kepada meminta,” katanya kepada pemberita di Menara PGRM selepas hadir sambutan Tahun Baharu Cina.
Hadi mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons tindakan Umno Terengganu memfailkan petisyen membantah kemenangan di Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman kerana didakwa terdapat unsur rasuah.
Hadi yang turut hadir pada program sambutan berkenaan enggan menemui pemberita, manakala Pengerusi PN Muhyiddin Yassin enggan mengulas lanjut.
Sementara itu, Hamzah berkata, PN akan mengemukakan bukti bagi menyangkal dakwaan Umno Terengganu.
“Sudah tentu bila mereka cabar kita dengan petisyen, kita akan pastikan, kita ada bukti yang menunjukkan semua dakwaan tak betul.
“Isunya, petisyen ni (dibuat) semata-mata tak puas hati. Kita ada pasukan (peguam) yang mempertahankan dan memastikan kita menang,” katanya.
Hamzah ketika diminta mengulas mengenai persediaan PN bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN), berkata perbincangan antara parti komponen belum selesai.
Bagaimanapun, beliau memberi keyakinan bahawa PN akan menang bergaya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Manakala untuk Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang kita perlu betul-betul pastikan semua calon kali ni boleh diterima bukan sahaja Melayu tapi bukan Melayu,” katanya.