
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Mohd Nasri Omar berkata daripada jumlah yang maut, 38 membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, pemandu dan penumpang kereta (14), pemandu dan penumpang lori (tiga), pejalan kaki (dua) serta satu pemandu jip.
“Seramai 33 individu dilaporkan cedera parah manakala 250 lagi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan.
Nasri berkata dalam pada itu,7,180 kes direkodkan yang membabitkan 9,198 kenderaan dan 9,653 saman atas enam kesalahan lalu lintas utama dikeluarkan.
Katanya kesalahan paling banyak adalah melanggar lampu isyarat iaitu 3,250 saman, memandu melebihi had laju (2,785) dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu (1,316).
“Selain itu, 1,183 saman dikeluarkan atas kesalahan memotong barisan, memotong di garisan berkembar (692) dan memandu di lorong kecemasan (427),” katanya.
Nasri turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa peka semasa pemanduan bagi mengelak risiko kemalangan.
Op Selamat 19 dilaksanakan 10 hari mulai Rabu lepas hingga 27 Jan ini secara serentak di seluruh negara.