Umno Seremban timbang tindakan terhadap ahli lapor usul PAU

Umno Seremban timbang tindakan terhadap ahli lapor usul PAU

Ketua Umno Seremban, Mustafa Salim, berkata tindakan Muhammad Fiqri keputusan peribadi dan tiada kaitan dengan Umno bahagian.

Ketua Umno Seremban Mustafa Salim berkata tindakan seorang ahli bahagian melaporkan ke JPPM adalah tindakan peribadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tindakan seorang ahli Umno Seremban membuat laporan ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) berhubung keputusan perhimpunan agung parti itu untuk tidak pertandingkan jawatan “top two” tiada kaitan dengan Umno bahagian, kata ketuanya.

Ketua Umno Seremban, Mustafa Salim, berkata pihaknya tidak pernah membuat apa-apa bantahan dan aduan berhubung keputusan PAU 2022 itu.

“Tindakan Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom itu tindakan peribadi beliau, bukannya mewakili Umno Seremban,” katanya, lapor Sinar Harian.

Mustafa akan berbincang dengan biro politik bahagian untuk memutuskan sebarang tindakan yang boleh diambil terhadap Fiqri.

“Beliau sepatutnya merujuk ketidakpuasan itu Kepada Umno Seremban, bukannya mengambil tindakan melulu,” katanya.

Mustafa berkata Umno Seremban menghormati keputusan parti kerana usul itu mendapat sokongan sebahagian besar para perwakilan.

“Sebagai ahli parti, kita perlu akur dengan suara majoriti dan tidak sepatutnya bertindak sesuka hati menyatakan bantahan,” katanya.

Semalam, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom dan Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dari Umno Terengganu membuat laporan ke JPPM bagi meminta siasatan ke atas kemungkinan berlakunya pelanggaran perlembagaan parti, berhubung usul tidak pertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan akan datang.

Mereka mendakwa usul yang dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini melanggar Perkara 10 perlembagaan Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.