Restoran Cina kembali kaut untung menjelang tahun baharu

Restoran Cina kembali kaut untung menjelang tahun baharu

Pengusaha restoran Cina berkata perniagaan mereka sudah bertambah baik kerana pelanggan kini lebih yakin untuk keluar makan.

Pelanggan mula kembali ke restoran Cina selepas wabak Covid-19.
PETALING JAYA:
Selepas hampir tiga tahun perniagaan terbantut akibat Covid-19, nasib restoran Cina semakin baik menjelang sambutan tahun baharu.

Pemilik restoran Sek Yuen, Phang Yew Kee, berkata, “kehidupan kembali normal” dengan perniagaan dapat dijalankan pada tahap 80% sebelum wabak.

“Perniagaan sudah bertambah baik. Selepas sekatan berakhir, orang ramai teruja keluar makan,” katanya.

“Pada mulanya, mereka teragak-agak, tetapi sekarang kita lihat mereka keluar, malah dengan ahli keluarga yang lebih berusia.”

Bagaimanapun, katanya, tabiat perbelanjaan pelanggan dilihat berbeza.

“Disebabkan wabak, banyak keluarga yang pendapatannya terjejas, jadi corak perbelanjaannya berbeza. Mereka kurang berbelanja atas hidangan dan memilih yang lebih murah,” katanya.

Lebih ramai pelanggan memilih untuk mengambil sendiri makanan, berbanding bergantung kepada penghantar.

Chong Thin Foong, ketua chef di restoran New Peng Wah di Damansara Jaya, berkata keuntungan hampir kembali kepada 100%.

“Berbanding tahun lepas, (keuntungan) hampir sekali ganda (tahun ini). Tahun lepas, dengan kes Covid-19, mereka (pelanggan) tak berani makan di kedai.

“Kini apabila kes sudah turun, orang ramai lebih yakin untuk keluar,” katanya.

Chong berkata, walaupun harga makan malam Tahun Baharu Cina telah meningkat, ini dapat dijangka kerana kenaikan harga berlaku setiap tahun.

“Sudah tentu harga barangan runcit juga naik, tetapi pelanggan faham. Sebenarnya, setiap tahun harga naik, tak pernah turun, terutamanya bagi makanan laut,” katanya.

“Lazimnya, (kenaikan harga) 30% hingga 50%, perkara biasa bagi pelanggan disebabkan Tahun Baharu Cina. Hidangan set termurah yang saya jual berharga RM800, dan yang paling mahal RM2,000.”

Wong Teu Hoon, presiden Persatuan Restoran dan Chef Pan Malaysia Koo Soo, berkata kebanyakan restoran telah ditempah.

“Mereka cuba melakukan dua syif, tetapi khuatir kurang tenaga kerja,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tahap perniagaan masih tidak dapat menandingi 2019, iaitu sebelum wabak, apabila lebih ramai pelancong menjamu selera di restoran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.