
Ketua rangkaian pasar raya besar Mydin itu berkata, pasar raya besar bersifat kompetitif.
“Kami bersaing antara satu sama lain untuk menjadi alternatif yang lebih murah. Apabila kami turunkan harga, yang lain pun akan ikut (turunkan harga),” katanya kepada FMT.
Beliau memberikan contoh bagaimana harga kit ujian kendiri Covid-19 dapat diturunkan selepas kerajaan membenarkan pasar raya besar menjualnya.
Ameer mengulas langkah Putrajaya mengkaji mengapung harga telur di pasaran dan memberikan subsidi bersasar kepada golongan B40.
Beliau berkata, pasaran harus dibenarkan untuk menetapkan harga.
Walaupun kawalan ke atas import makanan ditarik balik tahun lepas oleh perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob, perintah itu tidak merangkumi telur.
Pakar ekonomi Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran berkata, kawalan harga mencetuskan kekurangan bekalan dan memburukkan inflasi dengan memanjangkan tekanan inflasi.
Beliau mencadangkan agar golongan B40 diberi baucar pembelian, bukannya bantuan tunai.
Sistem seumpama itu, katanya, akan memastikan pengagihan bantuan lebih bersasar dan memberikan lebih kebebasan kepada pengguna untuk memilih barangan untuk dibeli.