
Khoirul Bariyyah Mohamed Sokeri, 28, dan bayinya, Muhammad Alfah Abdul Rahim disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Timbalan Ketua Polis Gua Musang Azmi Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati Perodua Axia yang dinaiki mangsa bersama dua anak dan dipandu oleh suaminya, seorang anggota tentera berusia 28 tahun, dalam perjalanan dari Subang, Selangor menuju ke Kota Bharu, Kelantan.
“Kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung Naza Ria yang dipandu lelaki Melayu berusia 36 tahun,” katanya dipetik Bernama.
Akibat pelanggaran yang berlaku pada kira-kira 12.40 tengah malam itu, kenderaan dinaiki mangsa remuk, manakala pemandunya patah tangan kiri dan pinggang dan seorang lagi anak pasangan itu berusia lima tahun patah kedua-dua kaki. Pemandu Naza Ria pula cedera ringan.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk proses selanjutnya, manakala mangsa yang maut dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, kata Azmi.