
Beliau berkata, dengan adanya satu formula khusus nanti, pembayaran secara tahunan itu dapat dilakukan dengan lebih jelas.
Katanya, pandangan semua pihak akan diambil kira dalam menentukan formula itu termasuk Premier Sarawak Abang Johari Openg.
“Premier (Abang Johari) ada kemukakan formula berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan persekutuan, jika kedudukan kewangan baik maka bayaran perlu lebih. Senang sama-sama, susah juga sama-sama, itu prinsip yang Sarawak pegang.
“Formula belum dapat dimuktamadkan tetapi buat masa ini prinsip dan mekanisme sudah ada dan kita akan cuba muktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan untuk Komuniti Tiong Hua di sini hari ini.
Semalam, selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di sini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan persekutuan bersetuju menaikkan pemberian khas bagi Sarawak kepada RM300 juta, mengikut Perkara 112D.
Katanya, jumlah itu adalah pembayaran peringkat awal sebelum satu formula khusus diumumkan oleh kerajaan persekutuan dan Sarawak.
Anwar berkata, prinsip pemberian itu diputuskan oleh pemimpin terdahulu yang melihat kedudukan Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia yang dilihat lebih mundur ketika itu.