Dengar pandangan kanak-kanak, kata pakar berkait penubuhan suruhanjaya

Dengar pandangan kanak-kanak, kata pakar berkait penubuhan suruhanjaya

Mesti ada mekanisme untuk mendengar daripada kanak-kanak sendiri, bukan sekadar membuat rancangan untuk mereka, kata Dr Amar-Singh HSS.

Suruhanjaya Kanak-kanak mesti meluas, meliputi keperluan kanak-kanak terpinggir serta mereka yang berada dalam kemiskinan dan kurang upaya, kata Dr Amar-Singh HSS.
PETALING JAYA:
Walaupun tindakan menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak satu langkah ke arah yang tepat, namun badan itu mesti bersifat inklusif dan holistik.

Perunding kanak-kanak dan aktivis, Dr Amar-Singh HSS berkata, suruhanjaya itu mesti meluas, meliputi keperluan kanak-kanak terpinggir serta mereka yang berada dalam kemiskinan dan kurang upaya.

“Mesti ada mekanisme untuk mendengar daripada kanak-kanak itu sendiri dan bukan sekadar membuat rancangan bagi mereka,” katanya kepada FMT, sambil menyatakan kepentingan masyarakat sivil dan aktivis yang telah bertungkus lumus menambah baik situasi dan hak golongan itu dirangkul bersama.

Amar juga berharap suruhanjaya berkenaan akan mempunyai skop dan kuasa melaksanakan perubahan, berbanding sekadar menjadi badan penasihat.

Katanya, cukup kritikal untuk mula dengan menangani isu didepani kanak-kanak dalam kemiskinan dan didera.

Suruhanjaya terbabit juga memerlukan dana dan kakitangan mencukupi untuk menangani pelbagai isu, katanya.

Pengerusi Voice of the Children, Sharmila Sekaran berkata, penubuhan suruhanjaya itu satu langkah ke arah mengangkat hak, penjagaan dan perlindungan kanak-kanak.

Menyifatkan keputusan penubuhan suruhanjaya itu sebagai “hebat”, Sharmila berkata, suruhanjaya itu dan pembentukan jabatan khas kanak-kanak seperti yang diumumkan sebelum ini, akan menjana kesedaran lebih tinggi, pertimbangan dan pendirian dalam isu didepani kanak-kanak jika dilaksana secara teliti dan cukup kakitangan.

“Bagaimana kita mengendalikan kanak-kanak hari ini, menentukan masa dewasa mereka. Ini seterusnya akan menentukan nasib masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, suruhanjaya juga mesti menjamin undang-undang, peraturan, dasar, proses pentadbiran dan program sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan, perundangan tempatan yang khusus dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Kanak-Kanak.

“Isu-isu yang memberi kesan kepada kanak-kanak perlu dilihat secara holistik, bukannya dari hanya satu sudut pandangan khusus, kerana banyak perkara saling berkait dan akhirnya menjejaskan kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.

Suhakam berkata, peruntukan dan sumber manusia mencukupi penting untuk memastikan suruhanjaya itu berupaya melaksanakan tanggungjawab yang merangkumi kelangsungan hidup, perlindungan dan pembangunan kanak-kanak.

“Bagi memastikan kepentingan kanak-kanak dilindungi, suruhanjaya mesti mempunyai bidang kuasa meluas dan mandat yang jelas,” kata pengerusinya, Rahmat Mohamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.