Penjelasan: Usul ‘tak tanding’ Umno cetus pertikaian

Penjelasan: Usul ‘tak tanding’ Umno cetus pertikaian

Pemimpin Umno berpecah mengenai keabsahan atau sebaliknya melihat usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.

PETALING JAYA:
Keputusan Umno tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti menimbulkan persoalan berhubung keabsahan termasuk mempersoalkan langkah itu berperlembagaan.

Usul yang diterima pada Perhimpunan Agung Umno, baru-baru ini, memastikan presiden, Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan kembali menyandang jawatan itu tanpa bertanding, pada pemilihan parti yang perlu dilaksanakan sebelum 19 Mei.

Pemimpin Umno berbelah bahagi mengenai perkara itu; sebahagian tidak pasti sama ada usul dikemukakan sah, manakala ada pula mengambil pendirian berbeza.

Zahid berkata, penerimaan usul terbabit sejajar dengan perlembagaan parti, manakala Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, nasihat undang-undang sudah diterima dan usul itu sah.

Bagaimanapun, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, berpandangan usul berkenaan tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan Umno, sambil menyatakan ahli mempunyai hak bercakap mengenainya dan menyuarakan bantahan mereka.

FMT melihat secara dekat usul itu sama ada ia selaras perlembagaan parti dan bagaimana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) boleh memainkan peranan.

Kebimbangan perundangan

Dalam menyuarakan kegusaran sama ada usul dibawa sah, Ismail berkata, walaupun perhimpunan agung menjadi keputusan tertinggi parti, namun keputusan itu tidak boleh bercanggah dengan perlembagaan Umno.

Perlembagaan parti menyatakan pemilihan perlu dijalankan setiap tiga tahun. Penangguhan dibenarkan selagi mana dinyatakan dengan jelas mengikut perlembagaan parti.

Perkara 9(3) Perlembagaan Umno menyatakan pemilihan mesti diadakan setiap tiga tahun bagi mengisi jawatan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden, termasuk 25 kerusi Ahli Majlis Tertinggi.

Sama ada perhimpunan agung boleh mengatasi Perkara 9(3) masih boleh diperdebatkan; walaupun ia merupakan kuasa tertinggi parti; Perkara 8(1) menetapkan ia tertakluk kepada perlembagaan parti.

Peguam Arik Zakri Abdul Kadir, berkata di atas kertas, Perhimpunan Agung Umno mempunyai hak membentang dan menerima usul tidak bertanding mengikut Akta Pertubuhan.

Arik berkata, tiada apa yang mampu menghentikan Umno daripada menerima usul tidak bertanding kerana undang-undang membenarkan parti berbuat demikian. Undang-undang juga membenarkan parti menggubal peraturan berhubung pemilihan parti.

Bagaimanapun, undang-undang menghalang ahli daripada membawa perkara itu ke mahkamah, namun tidak menghalang mereka daripada mencabar sama ada Seksyen 18C Akta Pertubuhan itu berpelembagaan, sekiranya mereka percaya ia melanggar kebebasan berpersatuan.

“Akta Pertubuhan menyatakan semua peraturan dan keputusan parti mesti mematuhi perlembagaan parti. Ini termasuk peraturan berhubung pemilihan parti.

“Apa guna mempunyai peraturan sekiranya anda boleh untuk tidak menurutinya mengikut Seksyen 18B dan 18C? Ia bercanggah. Sama ada satu daripada lebih layak atau satu daripadanya tidak berperlembagaan,” katanya memberitahu FMT.

Bidang kuasa JPPM

Ismail berkata, ahli Umno mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap usul itu, tetapi dinasihatkan membawa perkara terbabit kepada JPPM kerana keputusan parti tidak boleh dicabar di mahkamah mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan.

Pakar Perlembagaan, Shad Saleem Al Faruqi, berkata usul tidak bertanding Umno bukannya undang-undang. “Ia tidak menghalang hak ahli parti secara Perlembagaan dan hak sivil mereka.”

Katanya kepada FMT, mengikut Akta Pertubuhan, pertikaian parti sepatutnya dirujuk kepada JPPM dan bukan mahkamah. Bagaimanapun, masih terbuka untuk dibahaskan sama ada mahkamah boleh meneliti kesahihan usul terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.