Hak pekerja asing mesti dikuat kuasa, kata aktivis

Hak pekerja asing mesti dikuat kuasa, kata aktivis

Dasar komprehensif nasional untuk pekerja asing yang merangkumi penguatkuasaan dan mekanisme pemantauan harus diwujudkan, kata Tenaganita.

Lebih 200 pekerja asing melancarkan mogok di Genting Highlands pada 2 Jan atas pertikaian gaji dan kerja. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Hak pekerja migran bawah undang-undang buruh harus dikuatkuasakan dengan berkesan supaya mereka tidak perlu melakukan mogok untuk mengemukakan rungutan mereka mengenai gaji dan keadaan pekerjaan, kata seorang aktivis buruh.

Pengarah eksekutif Tenaganita Glorene Das menggesa agar diwujudkan dasar komprehensif nasional untuk pekerja asing yang merangkumi penguatkuasaan dan mekanisme pemantauan, termasuk garis panduan untuk pemeriksaan biasa oleh jabatan tenaga kerja.

Walaupun undang-undang buruh memberikan perlindungan kepada pekerja asing, penguatkuasaan undang-undang ini lemah dan kadang-kadang tidak wujud, katanya.

“Selagi dasar komprehensif tidak diwujudkan, pekerja asing akan terus dieksploitasi dan hak mereka tidak akan dilindungi,” kata Das kepada FMT.

Ramai pekerja asing tidak mempunyai platform yang sesuai untuk menyelesaikan pertikaian di tempat kerja kerana mereka tidak tahu tentang kesatuan pekerja atau mungkin tidak diwakili dengan baik oleh kesatuan tersebut.

Das berkata, NGO boleh membantu memantau, mengendalikan aduan pekerja, menjalankan latihan mengenai hak pekerja dan menyediakan tempat perlindungan bagi pekerja yang dianiaya.

Awal bulan ini, kira-kira 200 pekerja asing di Genting Highlands melancarkan mogok, yang membawa kepada penahanan dua orang kerana menghasut. Pekerja-pekerja itu berkata, mereka tidak berpuas hati dengan gaji dan waktu bekerja.

Das mengakui bahawa mogok tidak dibenarkan bagi ahli bukan kesatuan tetapi pekerja asing bukannya sengaja mahu melanggar undang-undang, katanya.

“Majikan mesti menyediakan ruang selamat untuk pekerja menyuarakan rungutan mereka, dan pihak berkuasa juga mesti menghormatinya, bukan hanya menahan mereka berdasarkan laporan syarikat atau majikan,” katanya.

Adrian Pereira daripada North-South Initiative percaya isu itu sepatutnya diuruskan dengan lebih baik oleh jabatan tenaga kerja tanpa perlu pekerja melakukan mogok.

“Pekerja asing di Malaysia berdepan banyak halangan apabila membuat aduan di tempat kerja dan dengan jabatan kerajaan, jadi tidak menghairankan apabila mereka melakukan protes aman, mogok atau piket,” katanya.

Majikan mesti memastikan mekanisme penyelesaian dalam syarikat adalah jelas supaya pertikaian dapat diselesaikan secara baik, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.