
Ahli Umno Terengganu, Aizat Fikri Nasir dan ahli Umno Negeri Sembilan Fiqri Firdaus mendakwa usul yang dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini melanggar Artikel 10 perlembagaan parti itu.
“Mengikut peraturan usul itu perlu dikemukakan 14 hari sebelum perhimpunan atau tujuh hari sekiranya dibentangkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.
“Ia juga boleh dikemukakan pada hari perhimpunan itu sendiri sekiranya Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno menjelaskan ia adalah perkara penting dan berkaitan dengan kepentingan awam,” kata surat itu yang dilihat FMT.
Bercakap kepada wartawan selepas memfailkan aduan itu Aizat berkata, tiada perbincangan dibuat mengenai usul itu bersama ahli akar umbi, dan tiada penjelasan daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.
Katanya, usul itu juga tiada kena mengena dengan kepentingan awam.
“Usul itu tidak mewakili akar umbi. Sebaliknya ia dikemukakan oleh wakil Umno Negeri Sembilan.
“Usul tidak mencerminkan kepentingan awam dan ia hanya untungkan presiden dan timbalan presiden sahaja,” katanya.
Ketika perhimpunan pada 14 Jan lalu itu, wakil Negeri Sembilan Shukri Shamsudin mencadangkan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan ketika pemilihan parti yang mesti diadakan sebelum 19 Mei ini.
Usul itu diluluskan dengan undian suara.
Ahli Umno dilaporkan berbelah bahagi sama ada dua jawatan tertinggi itu harus dipertandingkan atau tidak, dengan sebahagian berkata ia berisiko menyebabkan parti berpecah belah dan sebahagian lagi berpendapat ia membolehkan presiden Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan membuktikan mereka mendapat sokongan akar umbi.