Polis serbu stor, rampas rokok tak bercukai lebih RM10 juta

Polis serbu stor, rampas rokok tak bercukai lebih RM10 juta

Empat lelaki tempatan yang disyaki bertindak sebagai penghantar dan penjaga stor ditahan dalam serbuan itu.

Pemangku Ketua Polis Selangor S Sasikala Devi berkata semua suspek telah direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis merampas 143,950 karton rokok tidak bercukai bernilai lebih RM10 juta selepas menyerbu sebuah stor di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, semalam.

Dalam serbuan pada 12.15 tengah hari, polis turut menahan empat lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai penghantar dan penjaga stor.

Pemangku Ketua Polis Selangor S Sasikala Devi berkata, serbuan dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh merampas 122,750 karton rokok jenama La Black dan 21,200 karton rokok jenama La Light yang tidak bercukai kastam.

Katanya, turut dirampas sebuah Perodua Myvi dan dua lori jenis Mitsubishi dan Datsun.

“Rokok ini ditempatkan di stor berkenaan dan ia akan dihantar ke mana-mana rangkaian atau kedai oleh suspek setelah mendapat permintaan daripada penjual melalui aplikasi media sosial,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, sumber bekalan rokok itu juga sedang disiasat dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang akan menentukan nilai rampasan selepas cukai.

“Keempat-empat suspek direman sehingga 23 Jan ini dan mereka juga mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut sejak Januari tahun lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.