
Kejadian berlaku kira-kira 2.30 petang semalam dan dianggarkan 23,000 akaun pengguna Syarikat Air Terengganu (Satu) akan terjejas berikutan kejadian itu.
Sebelum kejadian itu, terdapat sebuah kapal tunda bersama tongkang serta sekumpulan pekerja di lokasi dikatakan sedang menggantikan tapak konkrit yang menyokong paip besar itu.
Ketika kerja itu dilakukan, paip dikatakan patah menyebabkan sebahagiannya terjatuh ke atas tongkang.
ADUN Paka, Satiful Bahri Mamat, berkata tongkang itu difahamkan milik kontraktor yang menjalankan kerja pembaikan paip.
Katanya, kerja itu dilakukan bagi membaiki paip di situ yang hampir patah sebelum ini selepas dilanggar bot.
“Ribuan pengguna akaun Satu dijangka terjejas berikutan insiden itu. Insya-Allah akan diambil tindakan segera dengan menggunakan Loji Rawatan Air (LRA) Kemudi.
“Bagi pengguna di kawasan Felda Kerteh 2 ,3 dan Ketengah Jaya yang terjejas, bekalan air akan dihantar dengan lori tangki,” katanya menurut Berita Harian.
Pada masa sama, beliau meminta penduduk menadah air dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.