Laporan penuh tragedi Batang Kali dijangka siap hujung bulan ini

Laporan penuh tragedi Batang Kali dijangka siap hujung bulan ini

Laporan penuh mengenai kejadian tanah runtuh bulan lepas itu akan dilengkapi laporan pihak terlibat seperti KPKT dan polis, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor pada 16 Dis lepas membabitkan 92 mangsa, dengan 31 daripadanya terkorban.
PUTRAJAYA:
Laporan penuh tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor pada Disember lepas dijangka siap hujung bulan ini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, beberapa isu telah dibangkitkan berhubung insiden tersebut selepas laporan awal dibentangkan pada Jemaah Menteri awal bulan ini, selain perlu memasukkan laporan pihak-pihak yang terlibat seperti Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan polis.

“Laporan penuh insiden berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan tahun baharu Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Wisma Sumber Asli hari ini.

Daripada keseluruhan 92 mangsa yang terlibat, seramai 31 orang terkorban manakala 61 lagi terselamat dalam kejadian pada 16 Dis lepas itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.