Kementerian Pertahanan batal 5 perolehan terdahulu elak ketirisan

Kementerian Pertahanan batal 5 perolehan terdahulu elak ketirisan

Kelima-lima perolehan itu melibatkan bekalan, perkhidmatan serta projek infrastruktur dan dilaksanakan secara tender terbuka.

Kementerian Pertahanan memberitahu keputusan membatalkan lima perolehan selaras dengan dasar kerajaan yang mengutamakan ketelusan dan “value for money”.
PETALING JAYA:
Kementerian Pertahanan membatalkan lima perolehan yang melibatkan bekalan, perkhidmatan serta projek infrastruktur terdahulu bagi mengelak berlaku ketirisan terhadap proses berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian berkata, kelima-lima perolehan berkenaan sebaliknya akan dilaksanakan secara tender terbuka selaras dengan dasar kerajaan pada masa ini yang mengutamakan ketelusan dan “value for money”.

“Untuk makluman, Kementerian Pertahanan telah melaksanakan perolehan aset secara tender terbuka seperti mana keperluan bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Bermula 2023, lima perolehan melibatkan bekalan dan perkhidmatan serta projek infrastruktur telah dibatalkan dan akan dilaksanakan secara tender terbuka,” kata kenyataan itu.

Katanya, Kementerian Pertahanan mengambil perhatian serius kenyataan perdana menteri yang juga Menteri Kewangan Anwar Ibrahim mengenai ketirisan perbelanjaan yang disampaikan pada Majlis Dialog Belanjawan Kerajaan 2023 di Putrajaya, Selasa lalu.

“Justeru, sebarang ketirisan dan salah laku sepanjang proses tersebut adalah sesuatu yang tidak akan sesekali dikompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan tindakan salah laku demi kepentingan peribadi.

“Kementerian ini juga tidak akan teragak-agak untuk melaporkan sebarang ketirisan dan ketidaktelusan terhadap proses perolehan tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.