
Azalina berkata, antara lain, suruhanjaya itu akan berfungsi mempromosi kesedaran dan pendidikan terhadap hak kanak-kanak kepada kerajaan dan orang awam; menasihati dan membantu kerajaan dalam menggubal perundangan, arahan pentadbiran dan prosedur; serta mengesyorkan tindakan-tindakan yang perlu diambil.
“(Suruhanjaya itu juga berfungsi) menasihati kerajaan berhubung obligasi antarabangsa di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan lain-lain perjanjian antarabangsa yang berkaitan.
“…(serta) mengadakan inkuiri dan menjalankan penyiasatan terhadap aduan mengenai pelanggaran hak kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.
Azalina berkata, pesuruhjaya kanak-kanak yang dilantik akan menerajui proses penubuhan suruhanjaya tersebut melalui penggubalan akta yang khusus.
“Pengumuman Pesuruhjaya Kanak-kanak tersebut akan dilakukan selepas mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong sejajar dengan Seksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999,” katanya.
Pada sidang media semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Jemaah Menteri setuju menubuhkan Suruhanjaya Kanak-kanak menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Pada 9 Jan, Azalina mencadangkan satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menjaga hak dan kesejahteraan kanak-kanak.
Katanya, suruhanjaya bebas akan mempunyai lebih kuasa dan autonomi, dan boleh bertindak sebagai badan penyelia mengenai perkara berkaitan pendidikan, hak dan jenayah terhadap kanak-kanak.