
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, berkata pihaknya mengucapkan tahniah kepada Malaysia Airlines atas inisiatif itu.
Beliau berkata, selain dapat memberi ruang untuk melaksanakan ajaran Islam, Yadim berpandangan inisiatif itu adalah langkah proaktif bagi menghentikan stigma dan eksploitasi kepada golongan wanita yang terbabit dalam industri berkenaan.
Katanya, usaha dan langkah konstruktif ke arah kebenaran kod etika pemakaian patuh syariah dalam kalangan kru penerbangan wanita itu wajar diberi pujian dan sokongan selaras agenda mengangkat martabat wanita dan Islam Rahmah dibawa kerajaan hari ini.
“Langkah Malaysia Airlines ini bakal mengikuti beberapa syarikat penerbangan lain yang membenarkan pramugarinya menutup aurat seperti Royal Brunei Airline, EgyptAir dan Air Cairo,” katanya menurut Harian Metro.
Sebelum ini dilaporkan Malaysia Airlines menghantar borang kajian menerusi emel rasminya kepada pengguna dengan hasrat membawa pembaharuan kepada pakaian seragam pramugari bagi mendapatkan pandangan orang ramai.