Naib presiden Amanah Hasanuddin dilantik YDP baharu Yadim

Naib presiden Amanah Hasanuddin dilantik YDP baharu Yadim

Pelantikan itu dipersetujui Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan pengalaman luas Hasanuddin Mohd Yunus dalam bidang pengurusan dan hal ehwal masyarakat.

Naib Presiden Amanah Hasanuddin Mohd Yunus yang juga bekas Ahli Parlimen Hulu Langat dilantik Yang Dipertua Yadim, berkuat kuasa 3 Mei lalu.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Amanah Hasanuddin Mohd Yunus dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) baharu, berkuat kuasa 3 Mei lalu.

Memetik kenyataan Yadim, turut dilantik Adi Anuar Azmin @ Che Wan sebagai timbalannya.

Katanya, lantikan bagi dua jawatan bukan eksekutif itu dipersetujui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Hasanuddin berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan hal ehwal masyarakat, sesuai dengan gerak kerja Yadim yang akan melibatkan dakwah kepada orang ramai.

“Bekas Ahli Parlimen Hulu Langat ini juga sebelum ini aktif dalam aktiviti kemasyarakatan selain terlibat dengan badan bukan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, Adi pula merupakan pensyarah kanan di Universiti Malaysia Perlis yang bertugas di Fakulti Perniagaan dan Komunikasi.

“Sesuai dengan penglibatan beliau dalam bidang pendidikan, lantikan ini akan membantu Yadim dalam melahirkan daie muda dakwah di negara ini,” katanya.

Yadim berkata, pihaknya yakin pengalaman dan kepimpinan dua tokoh itu akan meningkatkan kemampuannya sebagai badan dakwah serta menyebar nilai murni Islam dan rahmah bersesuaian aspirasi negara madani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.