JKM kendali 5,572 kes dera, abai kanak-kanak hingga Nov lalu, kata Nancy

JKM kendali 5,572 kes dera, abai kanak-kanak hingga Nov lalu, kata Nancy

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat ia melibatkan kes penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata kementerian sentiasa pantau dan bekerjasama dengan polis dan kementerian lain. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengendalikan 5,572 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak di seluruh negara sehingga November tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata, kes-kes yang terlibat seperti penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian.

“Kesemua kes ini disantuni oleh petugas JKM yang berperanan sebagai pelindung yang diwartakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kita sentiasa memantau dan mengambil tahu tentang isu-isu ini yang melibatkan keselamatan kanak-kanak dan sentiasa bekerjasama dengan pihak terlibat seperti polis serta kementerian berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sesi Town Hall Perkhidmatan Kanak-Kanak (Pemeliharaan dan Perlindungan) JKM 2023.

Dalam pada itu, Nancy berkata, mengenai penubuhan suruhanjaya kanak-kanak menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), ia dilihat sebagai satu tindakan baik kerana dapat membantu semak dan imbang kepada kementeriannya dan kementerian berkaitan.

Beliau berkata penubuhan suruhanjaya itu juga tidak akan menyebabkan berlaku pertindihan tugas.

“Walaupun kementerian kita bertanggungjawab memberi syor kepada suruhanjaya itu, tetapi suruhanjaya itu bukan di bawah kementerian kita.

“Suruhanjaya itu bebas memantau urusan berkaitan dengan kanak-kanak dan akan membantu kementeriannya dan juga kementerian lain seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan (KPM) yang berurusan dengan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Nancy juga berkata, selepas sambutan Tahun Baharu Cina, kementeriannya dan kementerian berkaitan akan mengadakan mesyuarat kordinasi untuk membincangkan untuk melaksanakan pendidikan seksual kepada kanak-kanak.

Beliau berkata, pelaksanaan itu perlu dibincangkan bersama kementeriannya, KPM, Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perpaduan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Perumahan, Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Menteri Agama sebelum dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.