Hentilah berkhayal untuk tawan Selangor, pemimpin PKR beritahu PAS

Hentilah berkhayal untuk tawan Selangor, pemimpin PKR beritahu PAS

Keyakinan tinggi dilontarkan PAS untuk menawan Selangor ibarat bermimpi di siang hari.

Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor Adzman Kamaruddin berkata beliau optimis negeri itu kekal di bawah pentadbiran PKR kerana prestasi cemerlang pentadbiran Selangor berbanding negeri ditadbir PAS.(Gambar Facebook Adzman Kamaruddin)
PETALING JAYA:
PAS dinasihatkan agar berhenti daripada berkhayal untuk menawan Selangor dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor, Adzman Kamaruddin.

Adzman berkata, melihat perbandingan prestasi antara pentadbiran negeri Selangor dengan Kelantan dan Terengganu membuktikan negeri di bawah naungan PKR itu jauh lebih baik dari segi kemajuan, kebajikan, pembangunan infrastruktur dan modal insan.

“Keyakinan tinggi yang dilontarkan PAS untuk menawan Selangor boleh diumpamakan sebagai bermimpi di siang hari.

“PKR Selangor optimis peluang mengekalkan negeri ini dalam PRN akan datang berdasarkan prestasi semasa kerajaan negeri khususnya dari segi soal kebajikan, pembangunan infrastruktur dan modal insan.

“Itulah batu asas untuk mengukur sejauh mana kecekapan pentadbiran Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, prestasi menakjubkan di peringkat persekutuan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim merangkap presiden PKR yang bekerja keras tanpa gaji juga dilihat dapat mempengaruhi sentimen rakyat.

Tambah Adzman, kemenangan PAS di enam kerusi parlimen Selangor dalam pilihan raya umum ke-15 sebelum ini hanyalah kerana kempen berasaskan fitnah, perkauman dan agama.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Selangor, Ahmad Yunus Hairi berkata, beliau yakin Perikatan Nasional (PN) dapat mengambil alih Selangor daripada PH dalam PRN tidak lama lagi.

Katanya, walaupun perkara itu cuba dinafikan pihak lawan, beberapa faktor serta perkembangan mutakhir politik semasa ternyata menyumbang ke arah keyakinan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.