Masalah Umno bukan penghalang PH sukses PRN, kata penganalisis

Masalah Umno bukan penghalang PH sukses PRN, kata penganalisis

Sebaliknya Umno mungkin memerlukan bantuan jentera PH berikutan 'perpecahan' dalam parti itu pada perhimpunan agung minggu lalu.

Kebersamaan PH-BN sukar dijelmakan di peringkat akar umbi susulan perselisihan dalam Umno, kata penganalisis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) diramal menunjukkan prestasi baik menjelang pilihan raya negeri (PRN) walaupun kerjasama dengan Umno dalam kerajaan masih samar, kata penganalisis.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, memberi alasan kubu kuat PH tertumpu di kawasan bandar, manakala Umno dan Perikatan Nasional (PN) mendominasi kawasan luar dan pinggir bandar.

Calon Umno berkemungkinan memerlukan bantuan jentera pilihan raya PH berikutan “perpecahan” dalam parti itu pada Perhimpunan Agung Umno, minggu lalu.

Pada perhimpunan itu, wujud dua kem dalam Umno yang menyokong status quo, manakala ada yang mahu menyingkirkan Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan.

Azmil berkata, berkemungkinan pemimpin di peringkat bahagian dan ahli tidak berjawatan akan memboikot selepas keputusan pada perhimpunan agung memutuskan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

PH hilang undi Melayu

Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, mempunyai pandangan berbeza dengan PH dijangka hilang lebih banyak undi Melayu kerana berpakat dengan BN membentuk kerajaan perpaduan.

Perpecahan dalam Umno – yang menjadi tunjang BN – hanya menjurus gabungan itu disabotaj ahlinya sendiri, yang mana akan menyebabkan PN menerima lebih banyak undi Melayu, seperti berlaku di PRU pada November, menyaksikan Umno sekadar menang 26 kerusi.

“Jadi, jika PH berpadu tenaga dengan Umno-BN pada PRN, PH akan hilang lebih banyak undi Melayu memandangkan mereka tidak mempunyai daya penarik,” katanya.

Katanya, menjenamakan PKR sebagai parti pelbagai kaum juga gagal menarik pengundi Melayu. Pengundi Melayu juga tidak tertarik menyokong Amanah kerana dilihat sebagai parti serpihan PAS, yang dilabel pengkhianat oleh parti itu.

Azmi berkata, jika pemilihan Umno diadakan sebelum PRN, mungkin sukar untuk parti itu bergerak ke hadapan.

Pemilihan parti dilihat mampu memporak-perandakan kerjasama dengan PH, sekali gus mengurangkan peluang menang pada PRN.

“Sekiranya kem menentang Zahid dan Mohamad menang majoriti jawatan dalam pimpinan parti, pimpinan sedia ada akan berdepan situasi sukar (menjustifikasikan kerjasama PH-BN),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.