Kerajaan semak semula akta lapuk tinggalan penjajah, kata Azalina

Kerajaan semak semula akta lapuk tinggalan penjajah, kata Azalina

Azalina berkata, undang-undang itu wajar disemak supaya ia sesuai mengikut peredaran dan perkembangan semasa.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata, antara undang-undang disemak semula adalah Seksyen 309 Kanun Keseksaan berkaitan cubaan bunuh diri.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan menyemak semula undang-undang lapuk yang diwarisi daripada zaman penjajahan British bagi memastikan ia sesuai digunakan mengikut peredaran dan perkembangan semasa, kata Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said.

Azalina berkata, Malaysia mewarisi pelbagai undang-undang daripada zaman penjajahan British seperti Akta Kontrak 1950 Kanun Keseksaan, Akta Keterangan 1950, Akta Undang-Undang Sivil 1956 dan Akta Fitnah 1957, lapor Utusan Malaysia

“Sebagai contoh, cubaan bunuh diri adalah kesalahan jenayah yang diimport oleh penjajah British melalui Indian Penal Code. United Kingdom memansuhkan kesalahan tersebut pada 1961 tetapi Seksyen 309 Kanun Keseksaan masih kekal dalam undang-undang kita.

“Saya berpendapat hukuman jenayah bukan jawapan kepada masalah kesihatan mental. Oleh itu, saya berkomited untuk menyemak semula Seksyen 309 Kanun Keseksaan,” katanya.

Katanya, kerajaan juga akan menyemak penggunaan terminologi perundangan yang mempunyai konotasi negatif sehingga mempengaruhi stigma dan menyebabkan diskriminasi masyarakat terhadap komuniti tertentu.

“Misalnya perkataan ‘dumb witness’ dan ‘idiot’ masih digunakan dalam Akta Keterangan dan Kanun Keseksaan.

“Saya berpendapat penggunaan terminologi bukan perkara yang kecil tetapi harus diberi pertimbangan yang sewajarnya dalam proses semakan undang-undang,” katanya.

Menurutnya, antara undang-undang yang akan disemak semula adalah Akta Profesion Undang-Undang 1976, Akta Jualan Barang 1957, Akta Kontrak 1950 dan Akta Insolvensi 1967.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.