Keluar GTA adalah keputusan kolektif, kata pemimpin Pejuang

Keluar GTA adalah keputusan kolektif, kata pemimpin Pejuang

Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata keputusan mengundur diri dari GTA bukanlah keputusan presiden.

Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata semua komponen GTA dimaklumkan lebih awal bahawa Perhimpunan Agung Pejuang akan mengundi sama ada mahu kekal atau keluar dari gabngan itu.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Pejuang mempertahankan keputusan parti itu keluar dari Gerakan Tanah Air (GTA) selepas dikritik kerana didakwa perkara itu tidak dibincangkan oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid berkata, keputusan keluar dari GTA dibuat oleh suara ahli akar umbi dari peringkat cawangan dan seterusnya ke peringkat persidangan negeri sebelum diangkat dan dibahas secara terbuka oleh perwakilan pada perhimpunan agung.

Katanya, semua komponen GTA dimaklumkan lebih awal bahawa Perhimpunan Agung Pejuang akan membincangkan dan mengundi isu itu.

“Keputusan untuk mengundur diri dari GTA dan memfokuskan kepada pemerkasaan parti bukanlah keputusan presiden Pejuang.

“Ia diputuskan secara kolektif oleh perwakilan yang hadir,” katanya dalam kenyataan.

Rafique menjawab tuduhan oleh Setiausaha Agung GTA Marzuki Yahya yang mendakwa Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir hanya mempertimbangkan pandangan perwakilan Pejuang ketika perhimpunan agung pada Sabtu lalu.

Marzuki mendakwa Mukhriz tidak berbincang perkara itu dengan kepimpinan tertinggi parti.

Menurut Rafique, dakwaan Marzuki hanya cubaan untuk mengeruhkan keadaan dan manipulasi fakta.

“Beliau hendaklah faham dan hormat konsep demokrasi,” katanya.

Pada 4 Ogos tahun lalu, Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan GTA yang dianggotai beberapa parti dan NGO Melayu serta ahli akademik dan juga profesional.

Antara anggota GTA termasuklah Pejuang, Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

GTA yang menumpukan kawasan majoriti Melayu bertanding di 115 kerusi Parlimen dan 43 kerusi DUN pada pilihan raya umum lalu. Bagaimanapun, semua calon Pejuang termasuk Mahathir sendiri tewas dan hilang deposit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.