
Pengarah Kastam Pahang, Wan Apandi Wan Hassan, berkata rokok yang dianggarkan bernilai RM258,800 dengan duti dan cukai lebih RM1.9 juta itu ditemukan selepas pihaknya memeriksa sebuah lori di kawasan letak kenderaan di hentian berkenaan arah Barat pada 8.30 pagi.
“Susulan penemuan itu, seorang lelaki berumur 56 tahun yang dipercayai pemandu kenderaan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya menurut Bernama.
Lori itu dipercayai tiba dari sebuah negeri di pantai timur, dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur untuk mengedar barang seludup berkenaan.
Katanya, rokok terbabit ditemui dalam lori yang ditahan di kawasan parkir R&R berkenaan.
“Kami melakukan pemeriksaan terhadap lori dan suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di tempat duduk penumpang.
“Lelaki tempatan itu ditahan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin. Barangan rampasan itu dibawa ke stor Cawangan Penguatkuasaan Temerloh untuk siasatan lanjut,” katanya.
Wan Apandi berkata, lori terbabit juga menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, yang mana lebih besar,” katanya.