
Beliau berkata, Kuala Lumpur-Beijing sudah menjalin hubungan diplomatik bermula 31 Mei 1974 dan bersetuju untuk meningkatkan hubungan menerusi kerjasama strategik pada 2004 dan seterusnya dinaik taraf kepada kerjasama strategik komprehensif (CSP) pada 2013.
“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 peningkatan hubungan dua hala Malaysia dan China kepada CSP.
“Dalam hal ini, kami berharap dapat menjalin kerjasama erat dengan China dalam mengukuhkan lagi hubungan dua hala kami,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2023 yang dihoskan Kedutaan China di Malaysia, malam tadi.
Zambry berkata, Malaysia mengharapkan pembabitan lebih konstruktif dalam mempromosi dan meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat untuk faedah kedua-dua negara.
Sementara itu, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dalam ucapannya berkata, China dan Malaysia menikmati hubungan ekonomi kukuh, dan jumlah perdagangan pada 2022 mencatat keuntungan sebanyak USD203.6 bilion (RM876 bilion), meningkat 15.6% tahun ke tahun.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah jumlah itu melepasi USD200 bilion (RM863 bilion),” katanya.
Beliau berkata, ulang tahun ke-10 penubuhan CSP China dan Malaysia melakar sejarah baharu, justeru kedua-dua pihak kini bersedia untuk membina komuniti China-Malaysia dengan masa depan yang dikongsi bersama.