Bawa petrol tanpa kebenaran, 2 lelaki ditahan

Bawa petrol tanpa kebenaran, 2 lelaki ditahan

Pemeriksaan awal mendapati bot didaftarkan untuk membawa penumpang dan dikendalikan dua lelaki warga tempatan.

Pemeriksaan menemukan 26 tong jenis ‘jerry can’ mengandungi 640l cecair disyaki minyak petrol dianggarkan berharga RM 1,312 diletakkan di bahagian belakang bot. (Gambar APMM)
SHAH ALAM:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot penumpang kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran disyaki minyak petrol di kedudukan 0.2 batu nautika utara Pulau Indah, Klang, 11.45 pagi, semalam.

Pengarah Maritim Selangor, V Siva Kumar, berkata hasil pemeriksaan awal mendapati ia didaftarkan untuk membawa penumpang dan dikendalikan oleh dua lelaki warga tempatan masing-masing berumur 46 dan 49 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 26 tong jenis ‘jerry can’ mengandungi 640l cecair disyaki minyak petrol dianggarkan berharga RM 1,312 yang diletakkan di bahagian belakang bot tersebut.

“Siasatan awal ke atas kru bot mendapati, mereka membeli minyak dari stesen minyak di Pelabuhan Klang dan ingin menuju ke Pulau Ketam. Semua barangan berserta bot dan kru ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Siva Kumar berkata, kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan lesen bot dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.