
Keputusan itu dibuat selepas hasil siasatan menyeluruh dijalankan jawatankuasa siasatan Suruhanjaya Tenaga (ST) yang ditubuhkan bagi mengenal pasti punca dan kesan gangguan terbabit serta aspek pematuhan kepada standard prestasi perkhidmatan (GSL) oleh TNB.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam kenyataan berkata, berdasarkan semakan GSL, TNB berjaya menyelesaikan proses pemulihan bekalan dalam tempoh dibenarkan dengan bekalan elektrik berjaya dipulihkan sepenuhnya dalam masa dua jam 23 minit.
“Justeru, tiada penalti dalam bentuk rebat untuk pengguna dikenakan terhadap TNB. Semua pihak terbabit insiden ini sudah mengambil langkah mitigasi jangka pendek, sederhana serta panjang bagi memastikan kebergantungan sistem grid di Semenanjung dapat dipertingkatkan dan insiden seperti ini dapat dielakkan daripada berulang pada masa depan,” kata kenyataan itu.
Katanya lagi, hasil siasatan juga mendapati kerja-kerja penyelenggaraan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North, iaitu lokasi punca gangguan, sudah dilaksanakan mengikut jadual sepatutnya dan tiada unsur kecuaian dikenal pasti menjadi punca insiden berkenaan.
“Sebagai langkah segera, TNB sudah mengambil tindakan pantas dengan menukar semua peralatan pengasing di PMU Yong Peng North,” katanya.
Jelasnya lagi, hasil siasatan mendapati insiden terbabit berpunca daripada kerosakan peralatan pengasing di PMU Yong Peng North yang menyebabkan berlaku pancaran arka (flashover) dan menyambar ke talian bersebelahan dan mengakibatkan PMU Yong Peng North terpelantik.
“Insiden ini menyebabkan sistem grid terpisah kepada dua wilayah dengan frekuensi operasi yang berbeza, iaitu 48.9Hz di wilayah tengah dan 51Hz di wilayah selatan.
“Justeru bagi menstabilkan frekuensi grid di wilayah tengah, mekanisme Skim Pelucutan Beban Automatik (UFLS) sudah diaktifkan bagi mengelakkan sistem grid daripada lumpuh sepenuhnya dengan kehilangan beban sebanyak 2,269MW membabitkan sebanyak 65 PMU,” katanya.
Katanya, PMU Yong Peng North mula beroperasi sejak 1987 dan menjadi titik penting dalam sistem grid yang menghubungkan wilayah selatan dengan wilayah tengah dan utara.
Dalam kejadian 27 Julai tahun lalu, TNB mengesahkan beberapa kawasan di Semenanjung mengalami gangguan elektrik bermula jam 12.39 tengah hari, membabitkan 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan.
Selain Lembah Klang, gangguan elektrik itu juga memberi kesan terhadap beberapa kawasan di Perak, Kedah, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan.