
KAPSYEN – Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali, berkata cara kerja penjawat awam perlu berubah mengikut peredaran masa dan penyelesaian kepada isu serta masalah rakyat sewajarnya dilakukan segera.
Beliau berkata, ini berikutan pelbagai aduan rakyat didapati lewat diambil tindakan malah ada tiada penyelesaian sehingga kini.
“Bagi 2023, fokus kerajaan negeri adalah penyelesaian isu dan masalah rakyat serta pencapaian memberangsangkan. Seharusnya semua jabatan perlu mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan apa jua masalah dihadapi. Sekiranya ada kekangan, mereka perlu memberi maklum balas kepada pengadu.
“Cara kerja penjawat awam juga perlu berubah mengikut peredaran masa dan penyelesaian kepada isu serta masalah rakyat sewajarnya dilakukan segera kerana perkhidmatan kita bukan lagi berteraskan kepada pelanggan semata-mata, iaitu rakyat sebagai pelanggan, sebaliknya harus berorientasikan ‘rakyat sebagai pemegang taruh’,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Amanat Kepada Penjawat Awam Negeri Melaka 2023 bertemakan Rekayasa Perkhidmatan Demi Keberhasilan Optima di Seri Negeri, Ayer Keroh.
Mengulas lanjut, Sulaiman turut mengingatkan penjawat awam agar menambah baik dan menaik taraf kualiti perkhidmatan sedia ada di samping memanfaatkan teknologi semasa seperti Internet Benda (IoT) ke arah perkhidmatan kerajaan digital.
“Biarpun kerajaan negeri kini menekankan kepada digitalisasi dan e-kerajaan, namun ia memerlukan keseimbangan supaya tidak menyusahkan rakyat, khasnya golongan warga emas.
“Pada masa kita mahu beralih kepada kaedah pembayaran tanpa tunai misalnya, penjawat awam juga perlu menyesuaikan dengan keadaan, terutama bagi golongan veteran dan warga emas yang masih belum menguasai kaedah pembayaran itu,” katanya.