Letupan di Pandan Indah: Suami isteri didakwa bunuh pelayan

Letupan di Pandan Indah: Suami isteri didakwa bunuh pelayan

Tiada pengakuan dibuat oleh kedua-dua tertuduh dan kes akan didengar di Mahkamah Tinggi pada Mac.

Tertuduh Khor Swee Boon dan Ng Hui Yee hadir di Mahkamah Majistret Ampang hari ini. (Gambar China Press)
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri didakwa atas tuduhan membunuh seorang pelayan restoran dalam kejadian letupan di Pandan Indah, Ampang, hujung bulan lepas.

Tiada pengakuan dibuat oleh kedua-dua tertuduh, Khor Swee Boon, 33, dan Ng Hui Yee, 30, apabila tuduhan dibaca di Mahkamah Majistret Ampang hari ini, menurut China Press.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Kes akan didengar oleh Mahkamah Tinggi dan tertuduh akan hadir ke mahkamah pada 23 Mac.

Peguam mewakili tertuduh, RSN Rayer meminta mahkamah membenarkan Ng diikat jamin kerana dia perlu menjaga dua anaknya berusia lima dan tujuh tahun.

Permohonan ini dibantah pendakwaan dengan berkata, tiada alasan untuk membenarkannya kerana membunuh ialah kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

Mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Dalam kejadian pada malam 29 Dis tahun lepas, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun maut akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup.

Kejadian berlaku di hadapan restoran tempat dia bekerja.

Polis percaya bom buatan tangan itu diledakkan dari jauh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.