
Setiausaha agung Umno itu berkata, pihaknya telah meminta nasihat daripada peguam-peguam parti berhubung perkara itu sebelum ia diluluskan.
“Usul tambahan itu pula bukan usul haram seperti tuduhan. Setelah episod ucapan dan cadangan wakil Negeri Sembilan yang disokong wakil Terengganu, saya telah meminta nasihat peguam-peguam Umno.
“Mereka menyatakan kaedah usul itu dibolehkan seperti peraturan Persidangan Umno Perkara 20,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, perwakilan Umno Johor, Pandak Ahmad berkata, usul tambahan itu bertentangan dengan Fasal 30, Buku Perlembagaan Umno dan Perkara 10, Peraturan Persidangan.
Beliau berkata, usul yang dibawa oleh perwakilan Umno Negeri Sembilan Mohd Shukri Samsudin pada Jumaat lepas tidak sempurna dan tidak boleh diteruskan di dalam PAU.
Sementara itu, Ahmad turut menafikan dakwaan wujud “pengundi hantu” yang dibawa masuk untuk meluluskan usul berhubung dua jawatan tertinggi itu.
Katanya, beliau telah meminta Pengerusi Tetap Umno Badruddin Amiruddin untuk mengarahkan ahli yang bukan perwakilan keluar dari dewan.
“Diyakini 100% tidak benar tuduhan liar itu. Kad yang tertera gambar perwakilan dipakai sepanjang persidangan dan jiran-jiran kerusi perwakilan saling mengenali malah pengacara juga umumkan agar perwakilan duduk di kerusi masing-masing yang telah ditetapkan.
Ahmad turut menafikan dakwaan bahawa perwakilan “import” hadir untuk membantu “bulldoze” usul berkenaan demi kepentingan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan.
Beliau merujuk kepada video yang dikongsi bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin di Instagram semalam.
“Mengenai satu video yang tular, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan itu (membabitkan) pegawai-pegawai Skuad Sabil dalam kalangan Ketua Pemuda yang diamanahkan untuk mengurus dan menjaga keharmonian dalam dan luar Dewan Merdeka.
“Lokasi video itu ialah di Bilik Terengganu, iaitu bilik yang dikhususkan kepada Sekretariat Skuad Sabil,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan Khairy mendakwa beberapa tanda nama pada kerusi yang dikhaskan untuk perwakilan Umno dalam Dewan Merdeka ditanggalkan sebelum undian usul dijalankan pada PAU.
Menerusi satu video di akaun TikTok, beliau berkata, tindakan itu dipercayai bagi membolehkan “perwakilan import” dibawa masuk untuk sorak dan “bulldoze” usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Ketua Penerangan Umno Isham Jalil kemudiannya menyangkal dakwaan itu dan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan, Lembaga Disiplin Umno akan berbincang mengenai tindakan terhadap Khairy atas dakwaan terbabit.