Longgar syarat MM2H atasi hartanah tak terjual, kata Exco Johor

Longgar syarat MM2H atasi hartanah tak terjual, kata Exco Johor

Exco Johor Mohd Jafni Md Sukor berkata jika syarat berkaitan dilonggarkan ia dapat membantu pemaju menjual hartanah berkenaan dan meningkatkan aliran tunai untuk membuat pembangunan seterusnya.

Menurut data Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor, 80% kediaman tidak terjual di negeri itu melibatkan pangsapuri berservis. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Kerajaan Johor mahu Kementerian Dalam Negeri mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat dan terma program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi membantu pemaju menjual kondominium mewah dan pangsapuri berservis yang tidak terjual di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Mohd Jafni Md Sukor, berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail ketika lawatan beliau ke negeri itu bulan depan.

“Jadi dengan kelonggaran syarat terhadap MM2H ini, ia akan membuka sedikit ruang untuk menggalakkan bukan sahaja pembeli dari luar, tetapi pelabur masuk dan boleh beli pangsapuri berservis di sini,” kata ADUN Bukit Permai itu.

Jafni berkata, syarat itu seperti perlu ada deposit perlu dilonggarkan bagi menggalakkan pembelian hartanah mewah berharga RM500,000 dan ke atas.

Katanya, isu hartanah itu tidak melibatkan rakyat Johor disebabkan perbezaan jenis hartanah yang disediakan dan kediaman tersebut dikategorikan sebagai hartanah tidak terjual.

“Pangsapuri berservis ini tak melibatkan rakyat Johor kerana pembeli di sini mahu rumah yang mempunyai tanah,” katanya.

Beliau berkata, jika syarat berkaitan dilonggarkan maka ia dapat membantu pemaju menjual hartanah berkenaan dan meningkatkan aliran tunai untuk membuat pembangunan seterusnya.

Sebelum ini, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi memaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri Johor hujung tahun lalu negeri itu akan bekerjasama dengan kerajaan pusat untuk mengkaji pelaksanaan MM2H, sebagai satu cara menangani isu hartanah tidak terjual.

Menurut data Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor, 80% kediaman tidak terjual di negeri itu melibatkan pangsapuri berservis.

Baki 20% adalah banglo dan rumah mewah yang kebanyakannya terletak di Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

Bekas timbalan menteri kewangan Mohd Shahar Abdullah tahun lalu berkata, Johor mencatatkan jumlah tertinggi dalam unit kediaman tidak terjual dengan 6,000 unit tidak terjual bernilai RM4.7 bilion, menyumbang 17% dan 21% bagi setiap bilangan dan nilai tidak terjual di negara ini.

Katanya, hampir 60% unit tidak terjual adalah dalam segmen hartanah kondominium atau pangsapuri, manakala dari segi harga, hampir 43% berada dalam julat harga lebih RM500,000 seunit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.