Dakwa kes Najib pendakwaan politik, Zahid cetus persepsi buruk, kata Muda

Dakwa kes Najib pendakwaan politik, Zahid cetus persepsi buruk, kata Muda

Desakan Ahmad Zahid Hamidi supaya bekas presiden Umno itu diberikan keadilan di mahkamah adalah kenyataan tidak bertanggungjawab.

Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno Jumaat lalu menuntut supaya Najib Razak yang kini dipenjarakan, diberikan keadilan di mahkamah.
PETALING JAYA:
Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan pertuduhan jenayah Najib Razak di mahkamah sebagai pendakwaan politik dan terpilih boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi kehakiman negara dan juga kerajaan.

Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi, berkata desakan Zahid supaya bekas presiden Umno itu diberikan keadilan di mahkamah adalah kenyataan tidak bertanggungjawab.

“Zahid bukan sahaja presiden Umno, malah adalah timbalan perdana menteri, dan bukannya Ahli Parlimen pembangkang.

“Kenyataan beliau, memberi gambaran seolah-olah keputusan sebulat suara panel lima hakim Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib berkait penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd, dibuat secara tidak adil.

“Ia boleh membawa implikasi terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman negara. Ia juga membina persepsi buruk terhadap kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Amir berkata, Muda akan memastikan tiada sebarang campur tangan politik ke atas kes yang sedang dibicarakan di mahkamah dan sekiranya ada, pendedahan umum akan dibuat.

Zahid dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2022 Jumaat lalu menuntut supaya Najib yang kini dipenjarakan, diberikan keadilan di mahkamah.

Beliau juga berpendirian bahawa pertuduhan penyelewengan dana dikenakan terhadap bekas perdana menteri itu adalah pendakwaan politik dan terpilih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.