
PETALING JAYA: Jangkitan harian Covid-19 turun sedikit semalam, dengan 287 kes dilaporkan berbanding 320 kes pada hari sebelumnya.
Menurut data di laman web KKMNOW, kes baharu terdiri daripada 286 jangkitan tempatan dan satu kes import. Tiada kematian dicatatkan.
Angka ini meningkatkan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 di negara ini kepada 5,032,433 kes, dengan kematian kekal 36,908 kes.
Setakat semalam, sebanyak 10,634 kes masih aktif, termasuk 20 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan 7 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Daripada jumlah kes aktif itu, 439 pesakit atau 4.1% menerima rawatan di hospital.
Seramai 590 pesakit dilaporkan sembuh.