
Melalui peguam caranya, S Karthigesan dan R Kengadharan, Syeda merayu kepada Anwar untuk menggunakan budi bicaranya meminta Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud segera melanjutkan visa mereka untuk kekal di negara ini.
“(Syeda) mempunyai 24 jam dari sekarang sebelum penerbangannya petang esok. Tiada jaminan atas keselamatannya dan sama ada beliau akan dibenarkan keluar dari negaranya (Pakistan) sebaik pulang esok.
“Ini juga akan menjejaskan (usahanya) mendapatkan bantuan guaman di Malaysia,” kata mereka dalam kenyataan.
Pada 9 Jan, FMT melaporkan Syeda menulis kepada Khairul untuk mendapatkan lanjutan visa Malaysia pada 6 Jan.
Menurut pejabat peguam P Waytha Moorthy, Syeda memerlukan lanjutan visa untuk menentukan di mana suaminya berada dan tindakan yang boleh diambilnya di Malaysia, jika perlu. Jabatan Imigresen diberi masa sehingga 14 Jan untuk mengesahkan keputusan berhubung perkara itu, menurut peguamnya.
Aktivis seperti Adrian Pereira daripada North-South Initiative dan John Quinley daripada Fortify Rights menggesa Jabatan Imigresen membantu Syeda memanjangkan tempoh beliau dibenarkan berada di negara ini.
Fawad, 41, berada dalam buangan di Malaysia selama lebih 10 tahun. Beliau hilang sejak 23 Ogos tahun lepas.
Beliau mencari suaka atas dakwaan dianiaya di Pakistan berhubung artikel berkaitan rasuah dalam kerajaan.