
Ini bermakna jawatan Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan timbalannya Mohamad Hasan tidak akan dipertandingkan, pada pemilihan yang perlu dibuat sebelum 19 Mei.
Pemilihan presiden dan timbalan presiden Umno menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.
Dalam kalangan perwakilan, beberapa negeri mencadangkan jawatan “top 2” parti dipertandingkan, manakala beberapa negeri menolak cadangan itu.
Sumber memberitahu FMT, 3/4 dewan menyokong usul itu. Para wakil diminta bangun dan mengangkat tangan untuk menyatakan sokong atau tidak menyokong.
Kata sumber yang enggan dinamakan itu, sejurus proses pengundian selesai, separuh dewan kembali kosong.
“Mungkin mereka malas nak dengar Zahid berucap atau mereka dah ‘fed up’,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Khairy Jamaluddin mendakwa beberapa tanda nama dikhaskan untuk perwakilan Umno pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul sempena PAU.
Menerusi satu video di TikTok, beliau berkata tindakan itu dipercayai bagi membolehkan “perwakilan import” dibawa masuk untuk sorak dan “bulldoze” usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Ketua Penerangan Umno Isham Jalil.
Beliau menganggap dakwaan Khairy sebagai fitnah dan meminta bekas menteri kesihatan itu memohon maaf kepada semua perwakilan Umno dan petugas yang hadir.
Sementara itu, Isham dalam catatan di Facebook mengesahkan semua usul termasuk usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dicabar, diterima dan disokong majoriti perwakilan.
Tok Mat tak tahu
Dalam pada itu, Mohamad mengakui usul dibawa wakil Umno Rembau supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan di luar pengetahuannya.
Ketua Umno Rembau itu turut menafikan dakwaan Khairy bahawa ia disusun olehnya sendiri.
“Saya tidak tahu. Saya sendiri pun terpinga-pinga (ketika undian usul). Saya tak perasan kerana sedang sibuk dengan perkara lain.
“Tiba-tiba saya nampak semua (perwakilan) berdiri untuk menyokong usul dua jawatan itu tidak dipertandingkan. Saya ikut berdiri, tapi kemudian presiden segera tarik tangan saya supaya duduk,” katanya pada sidang media selepas penggulungan PAU 2022.