

Ada antara mereka percaya Zahid Hamidi akan dapat mempertahankan jawatan presiden, dan ada yang berkata pemilihan akan pastikan Umno kekal relevan, pasca kekalahan teruk pada PRU15.
Nik Mohd Ridzuan Kamaruddin dari Pemuda Indera Mahkota yang percaya Zahid akan mengekalkan jawatan itu sekiranya ia dipertandingkan berkata pemilihan adalah acara yang lebih “gentleman”.
“Demokrasi ini seperti sebilah pisau, kalau pisau itu kita gunakan untuk kebaikan, baiklah dia,” katanya kepada FMT.
Zarina Ahmad Khan dari Wanita Dungun berkata Umno tidak boleh lagi mengecualikan jawatan tertentu daripada pertandingan, kerana perubahan perlu dilakukan segera agar kekal relevan selepas kalah teruk pada pilihan raya lalu.

“Kita perlu kepimpinan baharu dan pemilihan jawatan setiap peringkat termasuk peringkat atasan wajib dipertandingkan,” katanya, sambil berkata serahkan kepada ahli untuk tidak kekalkan pemimpin yang dirasakan tidak bagus.
Nur Sabrina Ramli dari Puteri Selangor berkata Umno tidak boleh dilihat sebagai menyekat demokrasi.
“Saya yakin presiden akan menganggap penggal beliau sebagai presiden yang terakhir kali ini dan selepas itu akan undur. Itu jangkaan saya. Jadi kali ini biarlah ada pemilihan dan saya yakin beliau akan menang dan penggal seterusnya orang baharu akan terajui Umno pula,” katanya.

Aileen Ahmad dari Umno Parit Sulong pula melihat pemilihan sebagai menghidupkan demokrasi dan bukan untuk mencantas mana-mana pemimpin, manakala seorang wakil dari Umno Seputeh, yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlah berkata parti berpecah bukan kerana pemilihan tetapi politik.
“Perpecahan berlaku disebabkan politik. Kalau tak buat pemilihan pun tetap berlaku perpecahan. Sekarang ini pun kita lihat banyak pasukan dalam Umno. Jadi lebih baik adakan pemilihan supaya pemimpin yang dipilih dapat betulkan parti,” katanya.

Abdul Nizam Adnan dari Umno Jerlun antara ahli yang bimbang pertandingan jawatan “top two” akan membawa kepada perpecahan.
Selamat Takim dari Umno Muar pula berkata persoalan lebih penting yang perlu dijawab akar umbi adakah pemilihan menjadikan Umno lebih baik atau merosakkan parti itu.

“Kita kena fikir untuk 5 tahun lagi. Selepas ini nak berdepan dengan PRK. Kalau sekarang ini sudah huru-hara saya takut nanti Umno entah ke mana, malah masih dibenci di bawah,” katanya, yang juga Adun Sungai Balang.
Sidang Perhimpunan Agung Umno 2022 menyaksikan pembentangan usul tidak pertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden parti pada pemilihan yang perlu dibuat sebelum 19 Mei.
Usul itu dicadangkan oleh Umno Negeri Sembilan, dengan sokongan Umno Marang dan proses undian akan dilakukan hari ini.