
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata hubungan ulama dan umara’ yang merupakan elemen penting dalam memastikan urusan pentadbiran negara sentiasa berpedoman, berpandukan al-Quran dan Sunnah.
“Dengan pelantikan ini, kita mengharapkan golongan ulama akan dapat bersama membimbing perjalanan kita agar sentiasa berada di landasan yang benar,” katanya ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno.
Semalam, Zahid berkata penubuhan Majlis Ulama Umno perlu disegerakan.
Katanya, penubuhan itu adalah satu daripada hala tuju perlu dibuat supaya Umno dapat maju ke hadapan.
Sementara itu, Zahid turut mengumumkan penubuhan Institut Umno yang akan dipengerusikan tokoh akademik Kamaruddin M Said manakala timbalannya, Abdul Mua’ti @ Zambri Ahmad.
Katanya, ketua penyelaras dan setiausaha eksekutif institut itu pula akan disandang Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi.
“Kita mahu institut ini segera beroperasi. Kita mengharapkan lontaran dan dapatan idea baharu bagi membolehkan Umno meneruskan langkah masa hadapan dengan pendekatan segar berdasarkan idea,” katanya.
Zahid turut berharap Umno mampu tampil dengan gerak kerja, sesuai dengan keadaan semasa sekali gus menarik sokongan rakyat terhadap parti itu.
“Kita mahu Umno mengemukakan dasar dan pendekatan yang yang boleh menjawab persoalan-persoalan yang timbul kepada negara dan rakyat,” katanya.