Bersedia sertai kerajaan di P Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan, Zahid beritahu Umno

Bersedia sertai kerajaan di P Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan, Zahid beritahu Umno

Presiden Zahid Hamidi percaya Umno dengan kerajaan perpaduan akan mampu hadapi PRN 'dengan gagah'.

KUALA LUMPUR:
Presiden Umno, Zahid Hamidi, meminta Umno bersedia untuk menyertai kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan selepas PRN akan datang.

Manakala bagi negeri yang ditadbir Perikatan Nasional, Zahid percaya Umno dengan kerajaan perpaduan akan mampu menghadapi PRN di Kedah, Kelantan, dan Terengganu, “dengan gagah dan kuat”.

“Kerajaan perpaduan penyelesaian terbaik untuk parti bagi mengelakkan parti sekali lagi diratah perpaduannya,” kata Zahid ketika ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno.

Enam negeri itu dijangka mengadakan PRN sekitar pertengahan tahun ini. Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan ditadbir Pakatan Harapan.

Bagi memastikan fokus dan strategi dapat disusun dengan baik, Zahid mengumumkan pelantikan beberapa menteri Umno sebagai “bapa angkat” di negeri-negeri terbabit.

Azalina Othman Said akan mengetuai gerak kerja di Pulau Pinang, Tengku Zafrul Aziz di Selangor, dan Zahid sendiri di Negeri Sembilan.

Mahdzir pula akan mengetuai gerak kerja di Kedah, Zambry Abd Kadir di Kelantan, dan Mohamed Khaled Nordin di Terengganu.

Timbalan Presiden Mohamad Hasan meneruskan tugasnya sebagai pengarah pilihan raya dan pengerusi “war room” PRN di enam negeri berkenaan, manakala Reezal Merican Naina Merican dilantik sebagai penyelaras operasi PRN.

”Kita mesti berikan kepercayaan kepada Mohamad untuk melakukan kerja mulai dari sekarang. Enam menteri serta naib presiden yang saya lantik tadi, saya yang bertugas untuk memastikan semuanya berprestasi termasuk Tengku Zafrul,” katanya.

Zahid berkata kepimpinan Umno bersepakat bahawa parti itu mesti disegarkan dengan melakukan perubahan dan pembaharuan.

“Umno perlu diremajakan. Remaja dalam konteks muka-muka baharu dan idea-idea segar. Umno mesti berupaya menawarkan harapan baharu buat rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.