Zahid tak pernah arah halang cabar ‘top 2’, kata Zambry

Zahid tak pernah arah halang cabar ‘top 2’, kata Zambry

Setiausaha agung BN berkata Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada perwakilan Umno menentukan sama ada dua jawatan itu perlu dipertandingkan atau tidak.

Zambry Abdul Kadir berkata Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah mengeluarkan arahan sekat pemimpin Umno daripada bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden parti. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah mengeluarkan arahan menghalang mana-mana pemimpin bertanding dua jawatan utama parti pada pemilihan akan datang.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abdul Kadir, berkata disebabkan itu beliau menyerahkan kepada perwakilan Umno untuk menentukan sama ada dua jawatan itu perlu dipertandingkan atau tidak.

“Beliau tidak mengatakan bahawa perlu disekat orang ini…orang itu bertanding.

“Sebab itu dalam ucapan (dasar) presiden tidak menyatakan langsung bahawa jawatan presiden, timbalan dan sebagainya tidak boleh dipertandingkan,” katanya ketika ditemui semasa membuat lawatan dengan pihak media di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein yang tidak keberatan untuk memikirkan menyertai pertandingan bagi jawatan tertinggi parti, jika PAU menghendaki ia diadakan.

Terdahulu, Zahid menyerahkan kepada perwakilan membuat keputusan sama ada dua jawatan utama parti akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno belum memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi itu akan dipertandingkan pada pemilihan parti, yang mesti diadakan sebelum 19 Mei, atau dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Terdapat gesaan yang berbeza daripada pemimpin dan perwakilan Umno berhubung perebutan dua jawatan itu.

Semalam, Khairy Jamaluddin yakin Zahid seorang pejuang dan tidak gentar menghadapi pencabar untuk merebut jawatan presiden parti itu.

Belum ada usul ‘top 2’ tak dipertanding

Dalam pada itu, Zambry berkata setakat ini belum ada usul daripada perwakilan Umno yang mahu dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.

Beliau berkata, ia terserah kepada perwakilan untuk menentukannya.

Sementara itu, Zambry enggan mengulas sama ada beliau akan bertanding mana-mana jawatan tertinggi dalam pemilihan Umno akan datang.

Beliau berkata, apa yang paling penting dapat bersama barisan pimpinan Umno masa ini dalam membina semula parti.

“Saya senang sahaja…(saya) tak ada perkara terdesak nak itu… ini.

“Jawatan (nak tanding) akan saya umumkan nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.