Sorakan ‘boo’ tak kuat, ramai sokong usul tak pertanding ‘top 2’, kata perwakilan

Sorakan ‘boo’ tak kuat, ramai sokong usul tak pertanding ‘top 2’, kata perwakilan

Ahli MKT, Puad Zarkashi berkata perwakilan dari Wanita, Selangor, dan Pulau Pinang menyokong usul tidak pertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno.

Perwakilan Umno mendakwa lebih ramai suara menyokong “top two” tak dipertandingkan berbanding jeritan boo. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sorakan ‘boo’ ketika Umno Negeri Sembilan mencadangkan usul tidak pertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden parti pada pemilihan yang perlu dibuat sebelum 19 Mei tidak kuat, kerana lebih ramai yang menyokong, dedah perwakilan.

Fahami Ashrof Badaruddin dari Umno Tanjong, Pulau Pinang berkata hanya segelintir perwakilan mengebu usul itu pada sidang petang tadi.

“Ada terdengar sorakan boo tetapi tidak jelas dan tidak kuat. Ini kerana lebih ramai menyokong dari boo,” katanya kepada FMT.

Seorang wakil dari Umno bahagian di Perak, yang tidak mahu dinamakan, berkata sorakan ‘boo’ petang tadi tidak bererti usul itu sudah ditolak.

“Ada pembahas lagi,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi, memaklumkan bahawa perwakilan dari Wanita, Selangor, dan Pulau Pinang juga menyokong usul tidak pertandingkan jawatan “top two” Umno itu.

“Tiada sorakan ‘boo’,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Hafif Abdul Kamal, dari Umno Tanjung Piai, Johor berkata beliau tidak menyokong usul tidak pertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.

Beliau khuatir parti akan berpecah jika dua jawatan utama itu tidak dipertandingkan.

“Masa ini tidak sesuai jika jawatan itu tidak dipertandingkan,” katanya.

Pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

MKT Umno belum memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi itu akan dipertandingkan pada pemilihan parti, yang mesti diadakan sebelum 19 Mei, atau dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.