
“Jangkaan saya bahawa (PAU yang bermula esok) akan penuh dengan keriangan dan kesyukuran.
“Kalau sudah ada kesyukuran itu, saya rasa peristiwa yang pelik-pelik takkan berlaku,” katanya kepada FMT, merujuk kepada sentimen akar umbi dan pemimpin yang bakal dipancarkan menerusi PAU atas kemenangan besar Umno-Barisan Nasional pada PRN Johor Sabtu lalu.
Pada PAU lalu, ucapan Shahidan Kassim disambut dengan ejekan apabila beliau selaku Ketua Umno Perlis ketika itu menganjurkan kerjasama dengan Bersatu dan PN.
Ia julung kali perwakilan mengejek pemimpin Umno secara terbuka.
Dalam pada itu, Ahmad enggan menjawab sama ada pemimpin PAS akan diundang ke PAU kali ini.
Dua parti itu mengasaskan Muafakat Nasional (MN) pada 2019.
Bagaimanapun, hubungan mereka semakin tegang susulan keputusan PAS bekerjasama menentang Umno pada PRN Melaka dan Johor.
Ahmad juga menolak spekulasi kemungkinan Umno mahu PRN turut diadakan di Perak dan Kedah selepas BN meraih 40 daripada 56 kerusi DUN pada PRN Johor Sabtu lalu.
“Saya tak ada dengar khabar angin itu. Tak ada,” katanya tanpa mengulas lanjut.
PAU akan berlangsung secara bersemuka selama empat hari bermula esok, dijangka dihadiri 5,571 perwakilan daripada 191 bahagian parti itu di seluruh negara.