Jenama semula dengan pemimpin muda, Umno diberitahu

Jenama semula dengan pemimpin muda, Umno diberitahu

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata pemimpin muda boleh membantu Umno mengeratkan hubungan dengan DAP menerusi naratif baharu.

Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata pemimpin baru dan muda harus dibenarkan untuk mengendalikan Umno.
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa Umno menjenamakan semula dirinya untuk menguruskan hubungannya dengan pesaing tradisinya dalam kerajaan perpaduan sekarang.

Wakil DAP itu memberitahu FMT, beliau percaya pemimpin muda dan baharu harus dibenarkan untuk mengendalikan Umno dan membangunkan naratif yang akan mewakili anak muda Melayu.

Menurutnya, ini boleh membantu Umno mengeratkan hubungan dengan DAP.

Santiago mendakwa pemimpin lama seperti presiden parti Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat menimbulkan kepercayaan di kalangan orang Melayu.

“Satu sebab Umno buat teruk dalam pilihan raya umum ialah dakwaan rasuah melibatkan Zahid,” katanya.

Zahid berdepan beberapa pertuduhan rasuah.

Umno hanya memenangi 26 daripada 120 kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya November lalu.

Santiago berkata beliau meragui generasi lama pemimpin Umno mahukan penjenamaan semula parti itu.

Sebahagian daripada mereka percaya ia menjadi hak mereka untuk mentadbir negara, dakwanya.

Beliau turut menyentuh mengenai cubaan ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin yang gagal untuk menggulingkan Hajiji Noor sebagai ketua menteri dan menjejaskan kestabilan kerajaan negeri, baru-baru ini.

Katanya, ini membawa kepada persoalan tentang keikhlasan Umno dalam pakatan baharunya dengan DAP.

“Kita mesti ingat bahawa Umno ditolak oleh orang Melayu,” katanya. “Kini ia merasakan satu-satunya peluang untuk bertahan adalah untuk bersama Pakatan Harapan.”

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata parti itu mesti belajar mengurus perbezaannya dengan pihak lain dalam kerajaan perpaduan yang merupakan “musuh semulajadi” pada masa lalu.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng yang juga dari DAP, memberitahu FMT beliau percaya perbezaan antara Umno dan DAP boleh ditangani jika prinsip asas demokrasi, keadilan dan anti-rasuah dapat dipertahankan.

“Tetapi bercakap lebih mudah daripada melakukannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.