
Dalam kenyataan hari ini, ATM berkata, kumpulan itu dikenali sebagai “Dark Pink”, menggunakan emel pancingan data dan perisian lanjutan untuk menyasar dan menyerang secara rawak rangkaian emel digunakan oleh agensi bawah Kementerian Pertahanan dan ATM.
“Bagaimanapun, aktiviti penggodam dikesan awal, dan tindakan pencegahan telah dilaksanakan sewajarnya. Pada masa ini, keseluruhan rangkaian komunikasi ATM yang terdedah kepada capaian internet didapati kekal selamat,” katanya.
Katanya, ATM sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa sebagai langkah menangani apa jua kemungkinan tindak balas serangan siber oleh anasir asing yang boleh mengganggu pengoperasian sistem siber dan teknologi maklumat ATM serta Kementerian Pertahanan.
“Segala tindakan diambil adalah bagi mencegah seterusnya mematahkan modus operandi dan penggunaan teknologi semasa oleh penggodam yang sentiasa menjadi ancaman bukan sahaja di rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara,” katanya.
Terdahulu, Bloomberg melaporkan Malaysia dan negara lain di Asia Tenggara menghadapi ancaman siber baharu daripada kumpulan penggodam yang menyasarkan data sulit kerajaan dan tentera.
Katanya, kumpulan “Dark Pink”, yang disyaki dikaitkan dengan kerajaan Asia, menggunakan perisian hasad tersuai untuk menyusup ke tujuh sasaran berprofil tinggi di Asia Tenggara dan Eropah.
Negara yang menjadi sasaran termasuk Filipina, Kemboja, Indonesia dan Bosnia-Herzegovina, dengan serangan berlaku antara September dan Disember tahun lalu.