
Nooryana juga mengakui selepas Najib dipenjara aura itu semakin hilang dan ia dapat dilihat semasa kempen PRU15.
“Semasa PRN Melaka dan PRN Johor, aura Bossku memang dirasai akar umbi bersama rakyat, kita nampak ada tarikan gelombang. Tapi ketika PRU15 di peringkat akar umbi pun tak semeriah sebelum ini,” katanya ketika ditemui media selepas ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Nooryana berkata, Najib hanya mahu melihat semangat Umno di mata rakyat dikembalikan.
“Dia tahu bahawa dia tak bersalah, dan semangat perjuangan dia masih kekal dan kuat walaupun sekarang ini berada di penjara,”katanya sambil memaklumkan Najib seorang yang setia kepada presiden dan tidak khianat kepada parti.
Beliau turut mengulangi bahawa Najib tidak mendapat keadilan semasa perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.
“Sekarang kita kena bersedia untuk semakan kehakiman yang akan bermula pada 19 Januari ini. Saya pun berbesar hati yang parti yang dicintai iaitu Umno sendiri dengan ucapan presiden memberitahu bahawa apa pun yang berlaku, Najib perlu mendapatkan proses perbicaraan yang adil,” katanya.
Ketika menyampaikan ucapan dasar pada PAU hari ini, Zahid menuntut mahkamah memberikan keadilan kepada Najib dalam perbicaraan melibatkan bekas perdana menteri itu.
Beliau mendakwa Najib menjadi mangsa pendakwaan politik dan terpilih.
Zahid berkata, Najib yang digelar sebagai ‘Bossku’ sebelum ini telah memberikan sumbangan untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada BN.