RM232 juta baiki kerosakan akibat banjir, kata menteri

RM232 juta baiki kerosakan akibat banjir, kata menteri

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata sebahagian besar kerosakan itu berlaku di negeri Pantai Timur dengan kos baik pulih RM196 juta.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata banyak kerosakan akibat banjir baru-baru ini melibatkan cerun runtuh dan jalan berturap yang pecah. (Gambar Bernama)
PENDANG:
Sejumlah RM232 juta diperlukan bagi membaik pulih infrastruktur dan kemudahan awam yang rosak akibat bencana banjir di negeri Semenanjung Malaysia, baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata sebahagian besar kerosakan itu berlaku di negeri Pantai Timur dengan kos baik pulih RM196 juta.

“Banyak kerosakan melibatkan cerun runtuh, kawasan berturap yang pecah. Dua minggu lepas kami melawat Terengganu dan Kelantan memang turapan pecah akibat banjir.

“Baik pulih sedang berjalan, jangkaan siap bergantung pada tahap kerosakan, cerun akan mengambil sedikit masa kerana banyak kerja teknikal, turapan mudah sikit, saya difahamkan kerja baik pulih sudah 20% siap,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan projek Hospital Pendang oleh Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan yang turut dihadiri Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Majlis itu turut disaksikan Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan identifikasi frekuensi radio (RFID) di lebuh raya, Nanta berkata Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Plus Malaysia Bhd akan mengadakan mesyuarat esok bagi mencari penyelesaian isu-isu yang timbul mengenai teknologi itu.

“LLM dan Plus akan membincangkan apa langkah-langkah yang sepatutnya diambil,” katanya yang turut menegaskan penggunaan RFID akan diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.